Kerajaan akan mengumumkan perincian mengenai proses pendaftaran bagi mengagihkan bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah pada awal Disember depan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, proses itu untuk membolehkan isi rumah yang benar-benar layak menerima bantuan seperti diluluskan dalam Bajet 2012.
Katanya, bagi membantu melancarkan proses tersebut, kerajaan melantik 2,000 pekerja sambilan untuk membantu mengumpul bagi perincian tersebut selain dibantu oleh Jabatan Kebajikan Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
"Selepas perincian ini siap, isi rumah yang layak boleh mendaftar pertengahan bulan depan dan bantuan dijangka diagihkan pada pertengahan Januari tahun depan," katanya di sini hari ini.