Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mahu graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) di negeri itu memberi komitmen penuh dengan berkorban dan bertugas di mana saja termasuk di pedalaman.
Beliau berkata, ini penting bagi merealisasikan transformasi pendidikan dan memartabatkan kecemerlangan pendidi- kan Sabah seiring dengan pencapaian di peringkat nasional.
“Saya pasti semua warga pendidik sedang berusaha dengan penuh kegigihan dan komitmen yang tinggi bagi mereali- sasikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam bidang Pendidikan.
“Penentuan kejayaan NKRA pula akan diukur berdasarkan Petunjuk Pres- tasi Utama (KPI). Justeru, para graduan sekalian tentunya menggalas amanah dan juga tanggungjawab yang besar sebagai pendidik yang berkualiti dan seterusnya menyumbang kepada kejayaan NKRA dan transformasi pendidikan negara,” katanya dalam ucapan kelmarin.
Teks ucapan beliau sempena Majlis Konvokesyen IPG kampus zon Sabah itu dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun.
Musa berkata dalam konteks pendidi- kan, kerajaan Sabah sedang giat membangunkan Hub Pendidikan di Sandakan yang menempatkan pelbagai institusi pengajian tinggi, kolej, pusat kemahiran dan latihan awam serta swasta.
Katanya penubuhan hub itu antara lain bertujuan melahirkan lebih ramai modal insan yang intelek, berkualiti dan profesional bagi memacu kemajuan negara terutama Sabah pada masa akan datang.
“Kita bersyukur dan gembira kerana pelbagai pihak telah memberikan sokongan yang jitu dan padu kepada usaha kita ini termasuklah Majlis Profesor Negara (MPN) yang telah melawat dan memberikan pelbagai input dan pandangan bagi memastikan kejayaan dan pencapaian matlamat pembinaan hub pendidikan tersebut,” katanya.
Musa berkata pendidikan memainkan peranan penting dalam menyediakan generasi muda dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran menerusi pembinaan dan pembangunan potensi setiap murid tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.
Pendidikan juga menjadi wahana penting untuk membentuk dan seterusnya melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan cemerlang sebagai aset masa depan negara dan bangsa Malaysia, katanya.
No comments:
Post a Comment