Waktu Solat

Wednesday, July 20, 2011

Peserta Sabah Juara MM2

LAUNGAN Aramai tii bergema pada malam kemuncak Mari Menari (MM) musim ke-2 sebagai tanda kemenangan MM Sarah, pasangan adik beradik yang berasal dari Negeri Sabah.

Dengan kemenangan itu, Sarah Diana Michele Durai, 32, dan Shazrul Hudson Ashley Durai, 18, mencipta sejarah dalam program realiti TV tarian terbaru Astro Ria setelah dinobatkan sebagai juara Mari Menari musim ke-2 pada malam Ahad lepas.


Menariknya, pada tahun ini lantai tari MM 2 menyaksikan persaingan hebat antara MM Sarah dengan pasangan adik beradik yang juga berasal dari negeri ini, MM Nita iaitu Norny Yusnita Jening, 22, dan Umar Ali Jening, 20.

Kedua-dua pasangan ini mempamerkan kualiti persembahan terhebat menerusi tiga cabaran tarian dengan tema yang berbeza.

Dua tugasan pertama merupakan tema yang pernah mereka lakukan sebelum ini iaitu Bollywood dan Latin. Kemudian dalam pusingan terakhir, kedua-dua pasangan ini berentap di pentas yang sama dengan kareografi tarian yang berbeza tetapi diiringi dengan lagu yang sama iaitu ‘Mahaguru’ nyanyian kumpulan KRU.

Jika diimbas semula kemuncak Mari Menari yang berlangsung di Studio 1, Astro Bukit Jalil; persaingan sememangnya sengit antara pasangan MM Sarah dan MM Nita. Malah karisma yang ada pada setiap pasangan menambahkan kehangatan pertandingan itu sehinggakan para juri tetap Joseph Gonzalez, Harith Iskandar, dan Vanida Imran serta juri jemputan, Sofea Jane, terpegun melihat persembahan tarian yang menakjubkan. Bagaimanapun, rezeki lebih menyebelahi pasangan MM Sarah.

Kuasa penuh penonton menerusi undian SMS memperlihatkan pasangan Sarah menerima undian sebanyak 56% diikuti oleh pasangan Nita sebanyak 44% undian sekaligus menempatkan mereka sebagai naib juara.

Selaku juara, Sarah dan adiknya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM150 000 beserta trofi eksklusif Mari Menari sumbangan Astro.

Selain itu, pasangan ini serta kapten kumpulan, Ray Redzuan Awang dan jurureka tari mereka, Alif Iskandar turut menerima hadiah percutian selama empat hari tiga malam ke Hard Rock Bali.

Bagi pasangan MM Nita, mereka turut menerima trofi eksklusif Mari Menari sumbangan Astro dan sama seperti pasangan Sarah, pasangan Nita serta kapten kumpulan, Belalang dan jurureka tari mereka, Acid juga menerima hadiah percutian selama empat hari tiga malam ke Hard Rock Bali.

Selain itu Ray dan Belalang turut menerima trofi eksklusif Mari Menari sumbangan Astro.

Sekadar mencuba nasib: Sarah

Selepas lima minggu bersiaran, persoalan mengenai siapakah bakal menjadi juara MM akhirnya terjawab. Saat diumumkan sebagai pemenang, pasangan Sarah melahirkan penghargaan mereka terhadap semua pihak termasuk krew Astro, para juri, jurureka tari, kapten kumpulan serta keluarga mereka yang telah memberikan sokongan padu terhadap mereka sepanjang program Mari Menari berjalan.

Malah ketika dihubungi oleh Hiburan NST, Sarah yang sememangnya meminati bidang tarian ini begitu bersyukur dengan kemenangan yang dicapai dan tidak henti-henti berterima kasih kepada para pengundi yang mengundi mereka dari mula sehinggalah mereka menjadi juara.

“Tanpa kamu siapalah kami… Hanya Tuhan saja yang mampu membalas jasa baik kalian dan semoga semuanya dimurahkan rezeki,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan mereka selepas program MM, Sarah yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di salah sebuah syarikat perkapalan di Sabah memaklumkan beliau belum mempunyai perancangan besar buat dirinya, namun untuk adiknya, Junior akan menyambung pelajaran di Kolej Multimedia Kota Kinabalu.

“Sebelum hujung bulan ini, kami akan balik ke Sabah… Selepas tu, perancangan untuk menunaikan umrah bersama ibu bapa, Junior dan dua orang lagi adik saya yang lain akan diusahakan. Selebihnya akan difikirkan nanti,” jelas wanita yang agak peramah ini.

Berbicara mengenai penglibatan mereka dalam MM, menurut Sarah semuanya dilakukan sekadar untuk mencuba nasib.

Ceritanya, “Apabila saya tahu ada ujibakat MM, saya bawa Junior join. Pada mulanya dia menolak sebab malu dan tidak pandai menari. Namun selepas dipujuk, akhirnya dia setuju dan kami pun give it a try… Syukur Alhamdulillah, kami mara hingga ke final dan akhir jadi juara.”

Menamatkan perbualan, Sarah sempat menekankan bidang tarian adalah suatu bidang yang baik. Selain daripada dapat meningkatkan kualiti tarian, ia juga secara tidak langsung menjadikan individu rajin bersenam dan lebih menjaga kesihatan diri.

“Saya suka menari. Bagi saya, menari mampu melepaskan tekanan dan membuatkan saya gembira. Jadi, sesiapa yang minat menari itu marilah menari kerana aktiviti ini memberi banyak kebaikan,” akhiri bekas penuntut Maktab Sabah ini.

Kemenangan berbaloi: Ray

Bagi Ray, kemenangan yang digapai adalah hasil kerjasama daripada pasangan Sarah dan Alif serta sokongan daripada para penonton.

“Kemenangan ini sememangnya berbaloi dengan usaha yang telah dilakukan. Saya, secara peribadi turut kagum dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh pasangan Sarah terutamanya Junior. Bayangkan saja Junior yang langsung tidak pandai menari mampu mempamerkan aksi hebat sehingga memukau perhatian ramai,” ujarnya dengan nada gembira.

Menurut Ray lagi, demi memberikan persembahan yang terbaik mereka pernah berlatih dari jam 7 malam sehingga jam 5 subuh.

“Walaupun penat, namun persefahaman semua pihak membolehkan tekanan dan cabaran dapat dihadapi dengan tabah dan professional. Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada MM Sarah dan juga Alif sebagai kareografi. Inilah kerjasama kami bersama dan terima kasih kepada penonton yang mengundi kami serta fans MM Sarah. Semoga Allah yang membalas kamu semua. Amin,” tuturnya.

Diminta mengulas mengenai pentas akhir MM 2 yang diungguli oleh peserta kelahiran Sabah, Ray mengakui kemaraan kedua-dua pasangan adik beradik itu ke final sememangnya sudah dijangka berikutan prestasi yang ditonjolkan dalam setiap persembahan yang dibuat.

“MM Sarah dan MM Nita mempunyai kelebihan tersendiri… Melalui respon kawan-kawan FB, semuanya turut mengakui sukar menentukan siapa yang bakal menang nanti. Malah ada juga yang tak kisah dengan siapa yang bakal muncul juara kerana akhirnya nanti nama sabah juga yang akan dijulang,” jelasnya yang nyata berpuas hati dengan bakat seni yang dimiliki oleh anak jati Sabah.

Pengalaman adalah hadiah yang amat bernilai: Nita

Walaupun MM Nita sekadar menduduki tempat kedua namun kegembiraan jelas kedengaran pada nada suara Norny atau Nita ketika dihubungi oleh Hiburan NST.

Malah saat ditanya adakah MM Nita kecewa dengan kegagalan meraih gelaran juara, pantas jawapan ‘tidak’ diberikan.

“Bagi Nita kalah menang itu, kami ketepikan dulu kerana apa yang penting ialah kami sudah all out dan penonton terhibur melihat persembahan kami. MM Nita juga sangat bersyukur kerana dapat mara ke final dan berentap dengan pasangan yang cukup hebat,” ujarnya sambil mengakui pengalaman yang diperolehi adalah hadiah yang cukup bernilai buat mereka.

Selain itu, Nita turut mengakui kemaraan dua pasangan peserta kelahiran Sabah ke final Mari Menari secara tidak langsung memberi impak positif kepada negeri ini.

Menurutnya, kebanyakkan rakan-rakannya dari Semenanjung Malaysia mengakui Sabahan memiliki bakat semulajadi yang dikagumi ramai.

“Hal ini bukan saja dibuktikan melalui bidang seni suara tetapi juga dalam bidang seni tari,” ujarnya ringkas.

Sebelum menamatkan perbualan, Nita sempat mengucapkan taniah pada MM Sarah dan berterima kasih pada semua pihak yang telah memberikan sokongan pada mereka.

“Taniah kepada MM Sarah dan kepada semua yang telah memberikan sokongan, terima kasih,” ujarnya yang bakal kembali ke Sabah pada 26 Julai nanti sekiranya tidak ada aral melintang.

Sementara itu, dalam saingan separuh akhir yang berlangsung pada malam Sabtu lepas, pasangan MM Mizi diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga manakala pasangan MM Faiz mendapat tempat keempat.

Biarpun gagal mara ke final, pasangan MM Mizi dan MM Faiz juga membawa pulang hadiah yang serupa dengan naib juara.

Kepada para pemenang, taniah diucapkan daripada Hiburan NST!

newsabahtimes.com.my

No comments: