Bank Negara Malaysia akan menaikkan premium insurans kenderaan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun mulai tahun depan pada kadar minimum yang tidak membebankan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah.
Penolong Gabenornya, Abu Hassan Alshari, berkata ia antara langkah yang akan dilaksanakan menerusi cadangan Rangka Kerja Baru Perlindungan Pemotoran dengan matlamat memudahkan pengguna kenderaan mendapatkan perlindungan serta meningkatkan kecekapan proses tuntutan insurans.
“Kadar kenaikan premium itu masih belum dimuktamadkan, bagaimanapun ia tidak akan membebankan pengguna selepas mengambil kira maklum balas dan input pelbagai pemegang kepentingan,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan terkini cadangan Rangka Kerja Baru Perlindungan Pemotoran di sini, semalam.