Lambakan 26,000 guru opsyen Sains dan Matematik di seluruh negara bukan membabitkan guru yang sedang berkhidmat, sebaliknya pendidik yang belum memperoleh penempatan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya, ramai graduan opsyen subjek itu di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta belum memperoleh penempatan berikutan lebihan penawaran guru di seluruh negara.
“Kita sukar menempatkan mereka kerana pengambilan guru mengikut unjuran diputuskan Jawatankuasa Bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Kita mengguna pakai unjuran itu untuk penempatan graduan mengikut keperluan semasa sesebuah sekolah,” katanya di sini, semalam.
Semalam, akhbar ini menyiarkan laporan mengenai 14,000 guru subjek Sains dan 12,000 guru Matematik terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara, sekali gus gagal menjayakan tugas dengan penuh semangat.