Panel penilai buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) English Year 1 Sekolah Kebangsaan perlu dikenakan penalti kerana cuai sehingga menyebabkan hampir 400,000 buku teks Bahasa Inggeris (BI) itu ditarik semula.
Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sependapat bahawa kecuaian itu tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan integriti Kementerian Pelajaran dan kerajaan terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit.
Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kementerian perlu lebih berhati-hati dalam memilih panel penilai pada masa akan datang bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang serta mengelak ibu bapa berasa was-was dengan buku teks yang dikeluarkan kementerian.