Mulai tahun depan, semua pelajar yang ingin memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) diwajibkan memiliki akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan simpanan minimum RM20.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata syarat yang dikenakan semula selepas dimansuhkan pada 2009 itu untuk menggalakkan budaya menabung di kalangan masyarakat sebagai persediaan untuk anak mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata, sehingga kini SSPN yang dilancarkan pada 2004 merekodkan seramai 990,229 pendeposit dengan jumlah deposit terkumpul bernilai RM465.12 juta.