Waktu Solat

Saturday, May 21, 2011

Kaji Insentif Untuk Guru Terlibat Kejohanan Sukan

Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran mengkaji bentuk insentif dan pengiktirafan yang boleh diberikan kepada guru yang terlibat menguruskan pasukan dan menjadi pegawai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

Timbalan Perdana Menteri berkata pengiktirafan perlu diberikan kepada golongan guru sebagaimana diberikan kepada para atlet.


Golongan guru yang menjadi pegawai kejohanan sukan perlu diberikan pendedahan supaya kewujudan mereka dapat diterima di peringkat antarabangsa sepertimana atlet, katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang MSSM di Stadium Perak di sini malam Jumaat.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata peranan MSSM perlu diperkukuhkan supaya ia dapat memainkan peranan lebih aktif dengan membuka lebih banyak ruang pertandingan untuk atlet dengan sukan baru dalam takwim kejohanan MSSM.

MSSM sewajarnya berdiri sendiri sebagai satu entiti majlis yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek pembanguan dan kecemerlangan sukan serta atlet bermula di peringkat sekolah hingga antarabangsa, katanya.

Katanya Kementerian Pelajaran melalui Bahagian Sukan dan MSSM sememangnya mengambil berat tentang program sukan ke arah melahirkan atlet berprestasi tinggi di peringkat antarabangsa.

"Perancangan sesebuah organisasi sukan seperti MSSM haruslah bertepatan dan memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam membina modal insan murid secara holistik, yang merangkumi aspek kognitif, efektif dan psikomotor," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan dasar "1Murid 1Sukan" yang diperkenalkan kementerian mulai tahun ini adalah untuk membuka ruang bagi penglibatan semua pelajar dalam sukan.

"Usaha itu harus dipikul oleh semua pihak yang berkepentingan dalam bidang sukan dan perlu disokong oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat amnya.

Sehubungan ini, Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri perlu terus memantau program sukan di sekolah supaya dasar itu dilaksana secara efektif," katanya.

Mengenai pencapaian atlet pelajar, Muhyiddin berkata pencapaian mereka akan diukur dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Asean ke-3 yang akan berlangsung di Singapura pada Julai ini.

"Sebanyak 12 jenis sukan akan dipertandingkan oleh tuan rumah Singapura. Malaysia seharusnya berusaha mengekalkan kejuaraan dalam kejohanan itu nanti," katanya.

Muhyiddin turut merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada Jawatankuasa Pengelola dan semua pihak yang terbabit dalam penganjuran kejohanan MSSM kali ini yang disifatkannya sebagai paling meriah dalam sejarah penganjuran kejohanan MSSM.

Ia mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records atas hasil ciptaan 10,845 buah tanglung "Cahaya Perpaduan 1Malaysia" yang dinyalakan di sekeliling Stadium Perak malam Jumaat.

Sebanyak 15 kontinjen mengambil bahagian dalam kejohanan MSSM kali ini yang mempertandingkan 24 jenis sukan dengan melibatkan 15,000 atlet dan 5,000 tenaga guru yang menguruskan pasukan masing-masing.- BERNAMA

No comments: