Sejajar dengan permintaan pelanggan terhadap komputer tablet yang semakin meningkat, pembekal komputer terkemuka negara ini, Acer Sales & Services Sdn Bhd memeriahkan lagi dunia pengkomputeran.
Bertempat di Plaza Low Yat - pusat gajet Kuala Lumpur, sempena dengan siri jelajah pengguna, Acer melancarkan tiga produk baru.
Di majlis berkenaan, produk yang menjadi tumpuan adalah Tablet Dua Skrin Sentuh Acer ICONIA 484G64, Tablet ICONIA TAB W500 yang menggantikan Acer Aspire Timeline Series dan Aspire TimelineX 4830TG.
Pengurus Besar Acer Sales & Services Sdn Bhd, Ricky Tan berkata, sempena pelancaran berkenaan, Acer Malaysia menawarkan rangkaian produk mudah alih yang lengkap bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.
"Ini termasuk tablet, telefon pintar, netbook hingga kepada komputer riba dan hari ini menandakan penyertaan Acer dalam pasaran tablet," katanya semasa majlis pelancaran rangkaian Iconia dan Timeline di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ricky menambah, pihaknya akan terus menjadikan pengkomputeran mudah alih lebih menarik dan terus kepada semua golongan sasaran selain disesuaikan dengan gaya serta keperluan pelanggan.
"Menerusi produk terkini Acer ICONIA, Acer ICONIA TAB W500 dan Acer Aspire TimelineX 4830TG, kami menawarkan pengalaman Acer yang lengkap, sambungan yang lancar dan pengalaman unik.
"Ini selaras dengan misi kami iaitu memecahkan halangan antara manusia dan teknologi," katanya.
Sementara itu Pengurus Besar OEM Segmen Microsoft, Low Sin Yip pula melahirkan rasa bangga bekerjasama dengan Acer dalam membangunkan produk ikonik yang dilengkapi dengan sistem operasi Window 7.
"Dengan Acer, kami ingin memudahkan kehidupan dan mencipta pengalaman penggunaan yang menarik kepada pelanggan," katanya.
Menggunakan Window 7, pengguna dapat mengakses kepada banyak pilihan perisian dan perkakasan dalam senarai Micosoft dan kerjasama antara kedua-duanya membantu meneruskan usaha meningkatkan kualiti produk.
Bersandarkan kepada kemajuan teknologi skrin sentuh, Acer ICONIA 484G64 menawarkan pengguna 'Pengalaman Sentuhan Sebenar' menerusi cara baru yang mengasyikkan bagi melihat dan berinteraksi dengan video, gambar, laman web serta filem kegemaran.
Ini memberikan pengalaman visual berbeza dengan membolehkan multimedia, hiburan, komunikasi serta laman sesawang bergerak lancar di atas skrin kembar bersaiz 14 inci.
Hanya sentuhan tangan di skrin menghasilkan pergerakan membuka aplikasi atau laman sesawang serta merta menerusi 'Gesture Editor'.
Pengguna juga meletakkan kedua-dua tapak tangan pada bahagian skrin bagi mengeluarkan papan kekunci maya QWERTY bersaiz penuh.
Menerusi 'Sosial Jogger' pengguna boleh memeriksa komen-komen dan perkembangan terbaru pada akaun rangkaian sosial secara sekali imbas dan menggunakan kedua-dua skrin untuk melihat lebih banyak kandungan.
Apa yang lebih menarik pada ICONIA 484G64 adalah kehadiran Acer Ring.
Pengguna hanya perlu meletakkan lima jari di atas skrin dan membuat pergerakan menggenggam, Acer Ring akan muncul, membuka satu dunia aplikasi seperti TouchBrowser, TouchPhoto, TouchMusic dan TouchVideo yang memberikan pengalaman semakan dengan pergerakan di atas skrin untuk zoom, memutar, menyelak atau skrol.
Lebih membanggakan lagi, awal tahun, Acer ICONIA 484G64 dinobatkan sebagai pemenang pertandingan 'Last Gadget Standing' semasa Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas.
Acer ICONIA boleh diperolehi di pasaran pada harga RM3,699.
Tablet Acer ICONIA TAB W500 dengan saiz 10 inci berharga RM1,699 menampilkan reka bentuk inovatif hibrid serta menawarkan yang terbaik iaitu tablet HD mudah alih multi sentuhan sempurna dan papan kekunci yang boleh dipisahkan.
Acer ICONIA TAB W500 dilengkapi dengan pemprosesan AMD Radeon HD6259 bagi pengalaman bermain permainan video serta visual terbaik.
Sementara itu Acer Aspire TimelineX 4830TG pula mengekalkan reka bentuk nipis dan elegan siri Timeline.
Dijual pada harga RM2,499 Acer Aspire TimelineX 4830TG disokong oleh pemprosesan Intel Core generasi kedua yang dilancarkan oleh Intel dengan nama Sandy Bridge.
Sempena pelancaran, Acer menawarkan program tukar beli bermula 24 Mac hingga 13 April, pelanggan boleh menukar beli mana-mana komputer lama yang sempurna tidak kira jenama bagi mendapatkan rebat sebanyak RM200 ke atas produk terpilih sementara stok masih ada.
Acer akan membaikpulih komputer lama dan mendermakannya kepada organisasi kebajikan.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment