Perkembangan telekomunikasi yang semakin pesat dibimbangi bakal membawa kemudaratan kepada penduduk setempat atas alasan radiasi yang dipancarkan.
Banyak rungutan yang disuarakan oleh pelbagai golongan masyarakat yang bimbang dengan pembinaan menara telekomunikasi yang didirikan hampir dengan kawasan perumahan dan berpenduduk padat.
Sebab itu, sebelum ini timbul kebimbangan di kalangan masyarakat bahawa ia mendatangkan risiko kepada kesihatan termasuk kanser akibat daripada radiasi yang dipancarkan.
Benarkah begitu? Adakah kajian terperinci telah dilakukan bagi mengesahkan perkara tersebut?
Industri telekomunikasi mudah alih yang berkembang pesat dengan pelbagai kemudahan telah diperkenalkan kepada pengguna termasuk kemudahan audio, video serta muat turun berkapasiti tinggi serta pelbagai kemudahan GPRS dan 3G yang semakin canggih.
Ini memerlukan gelombang transmisi radio yang tinggi seperti Frekuensi Terlalu Tinggi (VHF) dan Frekuensi Amat Tinggi (SHF), yang mana ia akan mengecilkan lagi jarak pancaran untuk liputan menyeluruh.
Oleh itu lebih banyak sel diperlukan dan lebih banyak menara dan peralatan antena didirikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Tele-Infra Teknologi Sdn. Bhd. (TTSB), Sohaimi Mior Hassan berkata, biasanya menara dan peralatan komunikasi dibina di merata tempat sama ada di atas tanah atau diletakkan di atas bumbung bangunan bagi mendapatkan liputan lebih baik dan menyeluruh.
“Sudah tentu kehadiran menara dan struktur telekomunikasi yang semakin bertambah serta dipasang merata tempat seperti kawasan perumahan yang berpenduduk padat menimbulkan rasa panik di kalangan penduduk terutama mereka yang prihatin terhadap kesihatan awam," katanya ketika ditemui Mega, baru-baru ini.
Tele-Infra sebuah syarikat milik penuh bumiputera yang mengkhusus dalam bidang pengauditan keselamatan pihak ketiga atau third party safety audit.
Buat masa ini Tele-Infra telah mendapat kontrak bagi melaksanakan audit keselamatan tahunan ke atas semua menara dan struktur komunikasi di tiga buah negeri iaitu Perak, Kedah dan Melaka.
Tidak berbahaya
Menyentuh mengenai pengalaman melakukan audit keselamatan di tiga buah negeri berkenaan, Sohaimi berkata, pemancaran yang dihasilkan oleh menara adalah medan elektromagnet tanpa ion (non ionised EMF).
“Pancaran berkenaan tidak berbahaya jika tidak melebihi tahap bahaya yang ditetapkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
"Di negara ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menetapkan pancaran EMF tidak melebihi 40volt/meter bagi kawasan penempatan, 6v/m bagi kawasan berisiko seperti sekolah, hospital dan stesen minyak.
“Ini merupakan tahap selamat yang disyorkan oleh ITU dan sekiranya ia melebihi 40v/m, ia akan membahayakan kesihatan," katanya.
Sohaimi berkata, sepanjang pemeriksaan yang dilakukan di menara dan struktur komunikasi di tiga buah negeri, pihaknya mendapati purata pancaran EMF tidak melebihi 4v/m.
Beliau menambah, tahap berkenaan adalah rendah berbanding yang dibenarkan oleh ITU dan ini bermakna pancaran radiasi di tiga negeri berkenaan tidak membahayakan orang awam dan alam sekitar.
Bagaimanapun tegas Sohaimi, kawasan yang terlalu hampir dengan peralatan antena atau piring gelombang mikro seperti di atas bumbung atau menara adalah kawasan larangan dan mungkin terdedah dengan pancaran radiasi melebihi tahap selamat.
Biasanya terdapat turun naik dalam kekuatan radiasi yang dipancarkan oleh sesebuah alat komunikasi.
“Antara faktor yang menyebabkan turun naik kekuatan radiasi yang dipancarkan adalah penggunaan power booster untuk menggandakan jarak EMF dan penggunaan telefon mudah alih pada masa puncak.
“Sukatan berkenaan boleh diperoleh menggunakan EMF meter yang dibeli daripada syarikat pembekal peralatan elektrik antarabangsa," katanya.
Maklumat mengenai syarikat berkenaan boleh didapati menerusi laman web produk antarabangsa seperti PMM dan Bosch.
Bagaimanapun proses sukatan mempunyai prosedur dan kaedah yang hanya boleh dilakukan oleh pakar.
Sohaimi berkata, pihaknya menjalankan audit keselamatan di setiap stesen pemancar sekali setahun sebelum permit tapak boleh diperbaharui oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pihak kami akan menyediakan Laporan Audit Keselamatan setiap tahun dan menyerahkannya kepada syarikat telekomunikasi terlibat sebelum kelulusan permit dikeluarkan oleh PBT bagi tapak berkenaan," katanya.
Pemantauan tapak menara amat diperlukan kerana PBT perlu mempunyai laporan audit yang lengkap sebagai bukti bahawa tapak pemancar itu benar-benar selamat dan menghilangkan rasa takut orang ramai.
Laporan berkenaan juga adalah bukti yang boleh ditunjukkan di mahkamah jika tindakan diambil oleh pihak ketiga mengenai penyakit kronik seperti kanser disebabkan pancaran radiasi di tapak berkenaan.
Kerajaan negeri dan PBT perlu prihatin terhadap keselamatan awam dan perlu memastikan bahawa setiap struktur yang dibina selamat dan tidak menimbulkan kesan negatif terhadap penduduk dan alam sekitar.
PBT, kerajaan negeri dan penduduk yang berhampiran dengan menara pemancar perlu tahu mengenai sempadan kawasan larangan yang tidak boleh dilintasi terutama seratus kaki (30.5 meter) di hadapan piring pemancar.
Pemantauan yang dilakukan serta sempadan radiasi memastikan penduduk tidak lagi bimbang kerana komunikasi mudah alih amat diperlukan masa kini memandangkan telefon bimbit diguna oleh semua orang di mana saja.
Sohaimi berkata, pemilik menara perlu membayar TTSB bagi melaksanakan audit keselamatan yang sama dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Ditanya apakah langkah yang diambil jika menara telekomunikasi yang dipantau melebihi tahap selamat, Sohaimi berkata laporan berkenaan akan dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.
Antaranya ialah ia perlu disukat semula oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) bagi pengesahan laporan yang dilakukan oleh TTSB.
“Jika laporan berkenaan tepat SKMM akan memberikan cadangan kepada PBT untuk arahan roboh atau berpindah ke tempat lebih sesuai atau kuasa pemancar dikurangkan ke paras yang selamat," katanya.
Bagi memastikan tapak menara dan struktur komunikasinya di seluruh negara tidak berbahaya, Sohaimi berkata audit keselamatan perlu dilakukan oleh pihak ke tiga yang berkemampuan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa serta dipantau oleh kerajaan negeri dan PBT.
Audit tidak boleh dilakukan oleh syarikat komunikasi atau pemilik menara kerana ia akan menimbulkan konflik kepentingan.
Selain pemeriksaan tahap radiasi pemancar komunikasi, TTSB juga melakukan tiga jenis audit ke atas tapak pemancar komunikasi iaitu audit keselamatan, audit struktur dan audit keselamatan radiasi.
Bagi memastikan tapak menara mengikut garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang melibatkan jarak antara menara dengan kediaman, kawasan perindustrian dan komersial mengikut keputusan Parlimen.
Tiga audit dilakukan dan serta dikeluarkan oleh jurutera bertauliah yang diiktiraf oleh kerajaan yang kemudiannya disokong oleh Bureau Veritas iaitu sebuah badan akreditasi antarabangsa yang diiktiraf oleh 140 buah negara seluruh dunia,” katanya.
Sohaimi menambah audit berkenaan perlu dilakukan secara berkala kerana keadaan tapak sentiasa berubah dengan perubahan cuaca bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti menara runtuh.
sumber : Utusan Malaysia, 8 Julai 2008
No comments:
Post a Comment