Waktu Solat

Thursday, September 30, 2010

Wajah Seorang Nenek


Nenek inilah yang memberikan saya kehidupan, kebahagian dan keamanan selama ini. Nenek inilah yang menjadikan saya seorang yang berguna dan berjaya dalam hidup. Nenek inilah yang menjadikan kami penerus kepada generasi masa kini dan juga pada masa akan datang.
Wajah seorang nenek yang kami sayangi dan kasihi...

Majlis Sambutan Hari Raya SMK Kota Marudu 2


30 Sept. 2010, Khamis: Saya dan rakan-rakan dari PPD Kota Marudu telah menghadiri Majlis sambutan hari raya diadakan di SMK Kota Marudu 2 yang dikelolakan oleh semua warga SMK Kota Marudu 2.Majlis ini turut dihadiri semua pengetua sekolah menengah dan guru besar sekolah rendah yang berhampiran.

Wednesday, September 29, 2010

Otak manusia gerakkan PC

MASA depan perkomputeran kini lebih kepada pembantu peribadi berbanding komputer tradisional dipacu perkakasan yang memenuhi keperluan individu, menasihatkan serta memberi arahan sepanjang hari anda.

Pangarah Makmal dan Ketua Pegawai Teknologi Intel, Justin Rattner, memaklumkan, perkakasan berasaskan 'konteks-sedar' yang membantu kehidupan seharian.

"Perkomputeran konteks-sedar ialah kombinasi antara pengesan perkakasan dan perisian yang membuka peluang baru kepada pembangun untuk mencipta produk generasi masa depan berasaskan platform Intel," katanya.


Menurut Rattner, perkomputeran konteks-sedar berbeza dengan asas aplikasi berasaskan pengesan yang ada sekarang.

"Contohnya, koordinat GPS dan kompas tidak memberitahu telefon pintar maklumat sebenar berkaitan kita.

"Manakala perkomputeran konteks-sedar menggabungkan pengesan maklumat padat seperti di mana kamu tidur dan cuaca di persekitaran yang digabungkan dengan pengesan biasa seperti kalendar atau rangkaian sosial," katanya.

Menurutnya, masa depan perkakasan bergantung kepada kepintaran menilai kehidupan manusia seterusnya memberi keputusan tepat untuk menguruskannya.

"Bayangkan PC menasihatkan anda untuk keluar rumah 10 minit lebih awal berbanding hari sebelumnya selepas menilai keadaan trafik pada hari terbabit? Itulah keadaan perkomputeran konteks-sedar yang menjana manusia pada masa depan," katanya ketika Forum Pembangun Intel 2010 di San Francisco, baru-baru ini.

Beliau berkata, makmalnya kini berusaha keras untuk merealisasikan teknologi masa depan perkomputeran konteks-sedar dengan kerjasama agensi lain yang menjurus ke arah pembangunan inovasi dalam tempoh terdekat.

"Kami kini dalam perancangan membangunkan antaramuka komputer berasaskan otak manusia yang membolehkan manusia menggunakan minda mereka untuk memberi arahan kepada komputer dan perkakasan mudah alih pada masa akan datang," katanya.

Bagi tujuan terbabit, Intel bekerjasama dengan Universiti Carnegie Mellon dan Universiti Pittsburgh untuk penyelidikan aktiviti neural manusia yang mempengaruhi pemikiran kognitif mereka dalam tindak balas.

sumber : http://www.hmetro.com.my

Pindah data laju dengan Kingston

KELAJUAN pemindahan data amat kritikal kepada pengguna memerlukan penghantaran maklumat pantas dari satu peranti ke peranti lain.

Menyedari hakikat itu, peneraju dunia dalam industri memori Kingston Digital Inc mengumumkan penghantaran pertama produk pemacu USB DataTraveler Ultimate Flash Drive format 3.0 yang memindahkan data sepuluh kali ganda lebih laju berbanding 2.0.

DataTraveler Ultimate mempunyai kelajuan membaca 80 megabit sesaat (Mbps) dan menulis pada kelajuan 60Mbps.

Melalui kapasiti storan 16GB, 32GB dan 64GB, ia dikatakan sepadan memindahkan fail besar termasuk muzik, foto dan video.

Ujian dalaman dijalankan Kingston menunjukkan pemindahan data untuk filem dengan masa satu jam 44 minit bersaiz 3.9GB berupaya dipindahkan ke pemacu terbabit dalam masa satu minit 13 saat.

Begitu juga pemindahan data dari DVD selama dua jam 23 minit bersaiz 4.4GB ke pemacu yang memakan masa hanya satu jam 23 saat.

sumber: http://www.hmetro.com.my

Tuesday, September 28, 2010

Penghantaran Laporan PBS BM dan BI Tahun 1 - 5

Laporan seperti di atas hendaklah sampai ke Unit Pentaksiran, Pejabat Pelajaran Daerah Kota Marudu selewat-lewatnya pada 30 September 2010.

Laporan yang dihantar hendaklah menggunakan borang yang sama sepertimana yang digunakan untuk pelaporan pentaksiran bagi pelajar Tahun 6 yang baru lalu.

Ke SK Sampir, Kota Marudu


28/09/2010, Selasa: Saya bersama En. George Bungas ke Sekolah Kebangsaan Sampir, Kota Marudu untuk menjalankan tugas atas aduan yang telah dikemukakan oleh seorang ibu kepada pelajar di sekolah ini berkaitan dengan peperiksaan UPSR. Sekolah ini terletak di kawasan bukit sejauh 32 km daripada pekan Kota Marudu.

Bilangan pelajar seramai 90 orang dan guru seramai 16 orang sahaja.

Friday, September 24, 2010

Pastikan sumber maklumat daripada Internet tepat, sahih: Muhyiddin

KOTA MARUDU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya memastikan sumber maklumat yang diperolehi menerusi internet datang daripada sumber tepat dan sahih.

Beliau berkata, ia kerana peningkatan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) boleh mewujudkan persekitaran negatif, termasuk ancaman ke atas guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap merasmikan program Kafe Siber di Sekolah peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek di sini, sebentar tadi.

Sumber : http://www.bharian.com.my

Jumlah gangguan siber Jan-Ogos meningkat 92 peratus

KOTA MARUDU 24 Sept. – Jumlah gangguan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 meningkat sebanyak 92 peratus kepada 4,390 kes sepanjang lapan bulan pertama tahun ini berbanding 2,289 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, gangguan itu melibatkan kes penipuan, cubaan pencerobohan, pencerobohan, kod berbahaya, spam dan gangguan perkhidmatan.

Beliau berkata demikian majlis pelancaran Program Kesejahteraan Siber (CyberSafe) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di SMK Tandek di sini hari ini.

Sumber : http://www.utusan.com.my

Tuesday, September 21, 2010

Sonsogon Magandai

Semasa di sekolah, saya terjumpa bekas pelajar saya semasa di SMK Tandek yang merupakan penduduk di kampung ini iaitu Malakal Andang. Semasa di sekolah ia sangat aktif dalam bidang sukan dan pernah sampai ke peringkat kebangsaan dalam acara jarak jauh dan merentas desa.

Kini dia menabur bakti di kampungnya ini dengan mengajar kanak-kanak tadika di balairaya kampung. Beliau mengajar secara sukarela dan hanya mendapat saguhati daripada penduduk kampung dan NGO yang sering datang ke kampung ini. Dia dia juga mendapat bimbingan dan bantuan dari guru-guru di sekolah ini. Dia juga sering membantu di sekolah ini dalam aktiviti gotong royong dan melatih pelajar dalam sukan.

Menurut beliau, nama sonsogon ini adalah daripada seorang boleh dikatakan pahlawan suku kaum ini yang mempunyai kuasa luarbiasa seperti dirasuk pada masa dahulu. Sungai di sini juga dinamakan sonsogon.

Suku di kawasan ini adalah kaum dusun sonsogon dan mempunyai 7 buah kampung antaranya sonsogon magandai, sonsogon paliu, sonsogon makatol, dan banyak lagi.

SK Magandai

Suasana di sekolah ini cukup aman dan sunyi.Banyak cerita pengalaman dari rakan guru-guru yang sedang bertugas di sini. Semua guru di sini memiliki motosikal yang digunakan untuk keluar masuk dari sekolah ke pekan Tandek dan Kota Marudu. Ada juga guru yang memiliki kereta untuk kegunaan mereka di sekolah ini.

Guru Besar sekolah ini iaitu En. Juaradi Masadang mempunyai misi untuk menjadikan sekolah ini menjadi sekolah cemerlang pedalaman pada tahun 2013. Misi Guru Besar ini dibantu oleh rakan guru seramai 9 orang yang bersama-sama mendidik dan mencapai misi ini pada masa akan datang. Sekolah ini mempunyai seramai 170 orang pelajar dan kehadiran harian pelajar adalah seramai 150 orang.

Pengalaman guru mengajar dan melalui jalan ke sekolah ini cukup banyak dan mematangkan mereka dari segi usaha dan komitmen mereka untuk bertugas di sekolah yang terpencil ini.

Bukit mengangis dan bukit bunting adalah antara cabaran jalan yang perlu dilalui untuk sampai ke sekolah ini. Menurut rakan guru di sini, nama bukit menangis ini adalah daripada kisah seorang sumandak yang berjalan kaki melalui jalan ini dalam kepenatan dan kesengsaraan dalam perjalanan dan menaiki bukit ini dan akhirnya dia sampai di puncak bukit tersebut dan sesampainya di situ dia menangis sepuas-puasnya. Maka itulah bukit itu digelar bukit menangis. Manakala bukit bunting saya belum mendapat cerita disebalik nama itu.

Ke Sekolah Kebangsaan Magandai

20/9/2010, Isnin: Saya bersama beberapa rakan guru lain yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan menjaga pelaksanaan peperiksaan UPSR 2010 di sekolah ini.

Kami mula bertolak dari pekan Tandek pada pukul 12.50 tengah hari dan sampai di sekolah pada 4.30 petang. Kami menempuhi perjalanan selama 3 jam 40 minit untuk samapi. Perjalanan berliku dilalui termasuk jalan berlumpur, menaiki dan menuruni bukit serta meredah sungai separas pinggang. Mujurlah kereta jip yang kami naiki sudah biasa melalui jalan seperti ini. cikgu ini menganggotai kelab 4WD daerah yang sudah biasa melaluinya.

Tuesday, September 7, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2010

Saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN kepada semua rakan-rakan yang seagama dengan saya. Maafkan sama ada tingkahlaku, percakapan, sindiran dan sebagainya yang telah kita lalui selama ini.

Taklimat dan Lawatan Pengarah Pelajaran Sabah Ke Kota Marudu












Isnin, 6 September 2010: Pengarah Pelajaran Sabah, Tuan Hj. Dr. Muhiddin Yussin melakukan lawatan ke daerah Kota Marudu sempena persediaan menerima lawatan TPM yang juga Menteri Pelajaran Malaysia pada 21 September 2010 akan datang.

Pengarah Pelajaran singgah sebentar di Pejabat Pelajaran Daerah Kota Marudu, untuk mendengar taklimat perancangan dan perjalanan lawatan tersebut yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Kota Marudu, En. Jainim Samaron yang dihadiri bersama semua Ketua Unit dan Penyelia PPD Kota Marudu.

Setelah taklimat selesai dijalankan, Pengarah bersama rombongan PPD Kota Marudu melakukan lawatan ke SMK Tandek, Kota Marudu iaitu sekolah yang akan dilawati oleh TPM nanti.

Lawatan DYMM Putera Sultan Perlis

Ahad, 5 September 2010: Lawatan Putera Sultan Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Jamalulail bersama Raja Perempuan Perlis serta rombongan kerajaan negeri telah tiba di SMK Kota Marudu 2 untuk merasmikan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bagi aktiviti yang dianjurkan oleh Cyber Securiti Malaysia iaitu anak syarikat di bawah MOSTI.

Hadir sama menyambut ketibaan Tuanku adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili yang juga Ahli Parlimen P168 Kota Marudu, ADUN Tandek, Adun Matunggong, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai dan Ketua-ketua Unit Pejabat Pelajaran Daerah Kota Marudu serta pelajar-pelajar sekolah yang terlibat dengan unit beruniform sekolah menengah di daerah Kota Marudu.

Thursday, September 2, 2010

Derma Darah Di Hospital Kota Marudu

2 Sept 2010, Khamis: Saya menderma darah di Hospital Kota Marudu pada pukul 10.10 pagi dan ini adalah kali yang ke-15 bagi diri saya.

Genap 3 bulan saya akan menderma semula iaitu pada 2 Disember 2010.

Pemantauan Persediaan Lawatan TPM

Pada 1 Sept 2010, saya bersama Pegawai dan rombongan dari PPD Kota Marudu telah melakukan pemantauan persediaan tempat lawatan YAB TPM di SMK Tandek. Lawatan TPM diadakan pada 20 Sept 2010 bersamaan hari Isnin.

Semasa pemantauan persediaan dilakukan banyak perkara perlu diperbaiki terutamanya keceriaan dan hiasan yang masih lagi belum berjalan sepenuhnya.

Pihak sekolah memaklumkan pada 2 September 2010, mereka akan melakukan gotong-royong bersama ibubapa untuk membersihkan kawasan sekolah dan dalam masa cuti kerja-kerja menghias akan dijalankan.