Waktu Solat

Thursday, February 3, 2011

Amaran Hujan Peringkat jingga di Sabah, Sarawak


Jabatan Meteorologi Malaysia meningkatkan amaran hujan di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak ke tahap jingga dengan hujan monsun sederhana dijangka berterusan sehingga Sabtu ini. 


Menurut kenyataan Jabatan itu, hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di Sarawak itu membabitkan daerah Kuching, Lundu, Bau, Samarahan, Asa Jaya, Simunjan, Betong, Saratok, Sarikei, Mukah, Dalat, Matu dan Daro.


Di Sabah pula, ia membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Tongod, Pantai Barat Kota Belud, Ranau, Tawau dan Lahad Datu.



"Keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan rendah berdekatan
sungai," menurut kenyataan itu.

Amaran angin kencang dan laut bergelora pula dituruntarafkan kepada kategori kedua untuk angin kencang Timur Laut di perairan Condore, Reef North, Layang-layang dan Laut Sulu dengan kelajuan 50-60 km/j dan ombak setinggi 4.5 meter yang dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

"Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," menurut kenyataan itu.
Angin kencang sehingga 40 hingga 50 km/j dengan keadaan ombak setinggi 3.5 meter pula berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur, Samui, Tioman, Bunguran, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, dan Tawau), Reef South, Palawan, dan Sulawesi dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

Sumber:Bernama

No comments: