Waktu Solat

Saturday, February 26, 2011

Khidmat Guaman Percuma Bagi Gaji Kurang RM2,000

Warga negara berpendapatan kurang RM2,000 sebulan yang menghadapi perbicaraan mahkamah kini boleh mendapatkan khidmat bantuan guaman percuma apabila Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), dilancarkan semalam.
Bantuan guaman itu termasuk pesalah kanak-kanak, tertuduh Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan tertuduh bagi jenayah syariah yang sebelum ini disediakan Majlis Peguam menerusi Pusat Bantuan Guaman.


Bagaimanapun, khidmat percuma itu tidak meliputi kesalahan yang membawa hukuman mati. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata yayasan usaha sama kerajaan dan Majlis Peguam berbentuk badan kebajikan itu sekali gus dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati sama rata oleh semua rakyat Malaysia, seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan. 

“Menerusi YBGK, khidmat bantuan guaman dan khidmat nasihat boleh diberi kepada semua warga negara sama ada berkemampuan atau tidak bagi semua jenis kesalahan jenayah, pada peringkat tangkapan, reman dan permohonan ikat jamin. 

"(Bagaimanapun) ujian kemampuan (membayar khidmat) hanya akan dijalankan untuk menentukan kelayakan penerima bantuan guaman pada peringkat perbicaraan mahkamah saja. 
"Ini akan membantu golongan kurang mampu mendapatkan pembelaan kerana kesamarataan keadilan adalah prasyarat kepada negara serta rakyat yang maju dan berjaya," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran YBGK di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam. 

Perdana Menteri juga tersentuh apabila dimaklumkan kira-kira 80 peratus orang kena tuduh (OKT) dalam kes jenayah tidak mempunyai peguam untuk membela kerana tidak mampu membayar yuran guaman tinggi. 

YBGK mempunyai 12 anggota lembaga pengarah yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. 

Perdana Menteri berkata kerajaan memberi geran pelancaran RM5 juta kepada yayasan sebagai tanda sokongan untuk membiayai operasinya. 

Sumber:Bernama

No comments: