Waktu Solat

Saturday, April 2, 2011

Lambakan babit guru belum terima penempatan

Lambakan 26,000 guru opsyen Sains dan Matematik di seluruh negara bukan membabitkan guru yang sedang berkhidmat, sebaliknya pendidik yang belum memperoleh penempatan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, ramai graduan opsyen subjek itu di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta belum memperoleh penempatan berikutan lebihan penawaran guru di seluruh negara.

“Kita sukar menempatkan mereka kerana pengambilan guru mengikut unjuran diputuskan Jawatankuasa Bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Kita mengguna pakai unjuran itu untuk penempatan graduan mengikut keperluan semasa sesebuah sekolah,” katanya di sini, semalam.
Semalam, akhbar ini menyiarkan laporan mengenai 14,000 guru subjek Sains dan 12,000 guru Matematik terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara, sekali gus gagal menjayakan tugas dengan penuh semangat.



Mohd Puad turut mendedahkan ada graduan dalam opsyen Sains dan Matematik menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kerana sukar memperoleh penempatan termasuk ada yang menunggu sehingga setahun, tetapi kementerian sukar mempertimbangkan permohonan mereka kerana dibimbangi menyumbang lambakan guru untuk dua subjek berkenaan.

“Guru Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kelolaan kementerian, tiada masalah penempatan kerana pengambilan pelajar berasaskan unjuran kekosongan jawatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan Korporat dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Mohmad Yazam, berkata dakwaan lebihan guru program Matematik dan Sains dalam sektor pendidikan tidak harus mencetuskan kebimbangan bagi pelajar IPT awam itu.

Sumber:Bernama

No comments: