Waktu Solat

Wednesday, July 20, 2011

Jangan jadikan kemiskinan alasan tidak galak anak berjaya dalam pelajaran

Jangan jadikan masalah kemiskinan dan kekurangan kemudahan asas sebagai alasan untuk tidak menggalakkan anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Demikian nasihat Ahli Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee kepada ibu bapa dalam golongan miskin kerana mereka memainkan peranan penting dalam kejayaan pelajaran anak-anak mereka terutama untuk memperolehi keputusan cemerlang.

“Jika anak-anak berjaya dalam pelajaran dan dapat belajar hingga ke peringkat pengajian tinggi akan memudahkan mereka memperolehi pekerjaan.


“Apabila anak-anak memperolehi pekerjaan, mereka akan memainkan peranan untuk membantu merubah hidup keluarga dan keluar dari belenggu kemiskinan,” katanya ketika berucap pada majlis Hari Keluarga dan Sukan Sekolah Kebangsaan Tampat di Sugut.

Pada majlis itu, Ronald yang juga timbalan Speaker Dewan Rakyat turut mengumumkan sumbangan RM5,000 untuk kegunaan pusat sumber sekolah itu terutama untuk membeli buku.

SK Tampat merupakan salah sebuah sekolah terletak jauh di luar bandar di daerah ini dengan hanya boleh dihubungi melalui jalan ladang kelapa sawit dan mengambil masa kira-kira lima jam perjalanan dari Pekan Beluran.

Beliau turut meninjau keadaan bangunan SK Tampat yang memerlukan perhatian terutama tiang salah sebuah bangunan untuk kelas dan pejabat guru yang rosak.

Ronald berkata beliau akan membantu terutama untuk mendapatkan peruntukan bagi kos pembaikan bangunan sekolah berkenaan.

Beliau turut meminta pihak pejabat pendidikan daerah Beluran supaya rajin turun ke bawah meninjau masalah yang dihadapi oleh sekolah yang terletak jauh di luar bandar.

“Mereka perlu memainkan peranan untuk sama-sama membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh sekolah di luar bandar terutama,” kata Ronald.
......................................
newsabahtimes.com.my

No comments: