Waktu Solat

Thursday, July 21, 2011

Wajib ada akaun SSPN syarat mohon PTPTN

Mulai tahun depan, semua pelajar yang ingin memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) diwajibkan memiliki akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan simpanan minimum RM20.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata syarat yang dikenakan semula selepas dimansuhkan pada 2009 itu untuk menggalakkan budaya menabung di kalangan masyarakat sebagai persediaan untuk anak mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata, sehingga kini SSPN yang dilancarkan pada 2004 merekodkan seramai 990,229 pendeposit dengan jumlah deposit terkumpul bernilai RM465.12 juta. 


“Jumlah itu termasuk seramai 482,346 pendeposit dengan jumlah deposit sebanyak RM130.04 juta yang dikumpul ketika peraturan ini dikuatkuasakan pada 2008 sebelum dimansuhkan setahun kemudian. 

“Pemansuhan pada 2009 itu berikutan tempoh 14 hari diperlukan untuk membuka akaun dengan ejen SSPN dan ia menimbulkan masalah pada pelbagai pihak,” katanya selepas majlis pelancaran semula SSPN di sini, semalam. 

Pada majlis sama, beliau turut menerima sumbangan korporat sebanyak RM250,000 daripada Kumpulan AmBank, Kuwait Finance House dan Malaysia Building Society Berhad bagi diagihkan kepada pelajar miskin dan kurang berkemampuan menerusi Unit Tanggungjawab Sosial Korporat PTPTN. 
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pelancaran semula SSPN diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menabung secara berterusan bagi tujuan pendidikan. 

Sehubungan itu, katanya, lima lagi institusi kewangan dilantik bagi mengendalikan urusan membuka akaun SSPN menjelang tahun depan iaitu Bank Rakyat, Agro Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB Bank dan Bank Islam. 

Pendaftaran ini akan menggunakan konsep T + 1 bagi membolehkan pendeposit memperoleh nombor akaun SSPN serta-merta dan menyemak penyata akaun melalui laman web PTPTN sehari selepas akaun dibuka. 

BERNAMA

No comments: