Waktu Solat

Saturday, January 28, 2012

Cuepacs kemuka lima perkara utama


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbang dalam semakan semula SBPA.
   
Presidennya Datuk Omar Osman berkata lima perkara itu menumpukan kepada aspek keadilan dan kesaksamaan khususnya bagi penjawat awam pada gred 54 dan ke bawah.



   
Lima perkara terbabit ialah mengkaji semula pindahan gaji bagi gred 54 dan ke bawah; mengekalkan kedudukan kekananan yang ada dalam SSM sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji semula kedudukan gaji penjawat yang telah lama mencapai tahap gaji maksimum; mengkaji semula kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus; dan semak kembali penstrukturan semula di semua peringkat gred.
   
"Kami harap  hasil semakan  semula ini akan memberikan keceriaan kepada semua penjawat awam," katanya kepada pemberita selepas taklimat SBPA kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, di George Town.
   
Omar berkata beliau juga meminta agar tiga lagi pegawai tertinggi dalam Cuepacs dibenarkan menyertainya pada mesyuarat pasukan petugas khas SBPA itu.

"Sekiranya tiga pegawai saya tidak dibenarkan untuk turut serta dalam mesyuarat itu  saya akan tarik diri dari pasukan itu, kerana ia tidak adil bagi saya. Saya adalah wakil  kepada 1.3 juta penjawat awam yang lain," katanya.
   
Selain itu katanya, Cuepacs akan membuat sesi jelajah sehingga April depan bagi memberi  penerangan kepada penjawat awam tentang SBPA.
   
"Sekarang ini kita cuma boleh minta semua penjawat awam supaya bersabar dan bertenang, tunggu sehingga tempoh semakan semula selesai," katanya.
   
SBPA yang sepatutnya dilaksana bulan ini ditangguhkan sementara bagi memberi peluang kepada pasukan petugas khas menyemak semula skim itu yang dikatakan persatuan penjawat awam sebagai agak kurang adil serta mengelirukan.
   
Pasukan petugas khas itu yang ditubuhkan pada pertengahan bulan ini diberi masa tiga bulan untuk melakukan semakan dan mengemukakan cadangan baru kepada
kerajaan.

- Bernama

No comments: