Waktu Solat

Monday, January 23, 2012

Presiden Indonesia tidak semestinya keturunan Jawa


Sultan Yogyakarta, Sri Sultan Hamengku Buwono X berkata, pandangan bahawa hanya orang Jawa harus menjadi Presiden Indonesia tidak lagi relevan pada masa ini.

Ahli politik kanan parti Golkar, yang juga Gabenor Daerah Istimewa Yogyakarta itu berkata, jawatan ketua negara republik itu boleh disandang oleh mana-mana etnik kerana ia merupakan hak prerogatif seorang warganegara dan para pengundi yang akan menentukan siapa yang akan mereka pilih.


“Ia bergantung kepada rakyat pada masa mereka masuk tempat mengundi. Yang masuk tempat mengundi bukan hanya orang Jawa. Orang seluruh republik Indonesia yang mempunyai hak memilih. Yang diaspirasikan, terserah pada masa mereka di tempat mengundi,” kata Sultan seperti yang dipetik portal berita vivanews.

Sultan Jogja itu bercakap pada satu acara perbincangan budaya di Jalan Ampera Raya, Kemang, Jakarta Selatan, semalam.

Beliau berkata, pertimbangan para pengundi dalam menentukan calon presiden bergantung kepada kelayakan menurut pandangan para pengundi sendiri dan semua faktor boleh menjadi pertimbangan seperti kualiti calon, etnik, agama dan sebagainya.

Menurut Sultan, sejak kebelakangan ini parti politik hanya menghasilkan para pemimpin dari kalangan mereka yang berduit.

Pada kenyataannya pula, pemimpin parti tidak selalu akan menjadi presiden Indonesia atau gabenor di peringkat provinsi (negeri).

Sultan Jogja merupakan satu-satunya sultan di Indonesia yang mendapat keistimewaan dipilih secara automatik sebagai Gabenor Provinsi Yogyakarta, iaitu jawatan setara Ketua Menteri peringkat negeri, selaras dengan kedudukan Yogyakarta sebagai sebuah Daerah Istimewa di republik itu. – BERNAMA

No comments: