Waktu Solat

Thursday, July 19, 2012

2-4 BUKAN KEKALAHAN BESAR


Kota Marudu, 17 Julai 2012- Kekalahan 2-4 pasukan Bola Sepak Kelab Staf PPD Kota Marudu kepada pasukan SMK Kota Marudu II petang tadi disifatkan bukanlah satu kekalahan besar kepada pasukan bimbingan Encik Jimson itu. 



Biarpun tewas, para pemain besyukur kerana dapat menyangi pasukan yang telah membariskan pemain dari kalangan guru-guru muda dan beberapa orang pelajar Tingkatan 6. Malahan beberapa orang pemain yang ditemui berpendapat keputusan mungkin akan berbeza sekiranya pasukan PPD tidak melepaskan 2 gol mudah di awal permainan. Kenyataan ini merujuk kepada situasi Benson selaku penjaga gol melepaskan bola leret mudah gara-gara belum panas. Apa tidaknya Benson yang ditugaskan mengawal gawang petang tadi baru keluar pejabat dan sewaktu wisel permulaan dibunyikan, mantan penjaga gol utama Zon 3 itu baru siap menukar kemeja dan tie. Bagaimanapun pemain ini berjaya menebus kesilapan dengan menyelamatkan beberapa percubaan bahaya pasukan lawan termasuk terbang menepis rembatan deras Bomie salah seorang penyerang KM II yang menjadi duri dalam daging kepada pertahanan PPD.

Sewaktu serangan PPD kerap terbantut hasil kekangan pertahanan KM II dan dibantu kekerapan offside yang membelengu penjaring terbanyak PPD iaitu Amat Nor tiba-tiba Rosmin selaku penjaring tidak ternama mudah memperdaya penjaga gol lawan sebaik mendapat umpanan Sanaleh. Gol ini menutup mulut pengkritik seketika sebelum pemain takraw daerah itu gagal menyudahkan peluang yang sama beberapa minit kemudian. Masa pertama tamat selepas KM II mendapat gol ketiga hasil sepakan bertuah yang tertampan pertahanan import PPD ke jaring sendiri.

Masa kedua, pasukan PPD bermula garang mengatur serangan. Hasilnya Amat Nor mengamatkan penyokong PPD apabila menghasilkan jaringan kaki kiri yang sangat cantik sekali lagi hasil umpanan Sanaleh. Kemasukan Tony selaku pemain yang biasa beraksi sebagai penjaga gol PPD tidak banyak yang boleh diperkatakan selain lontaran ke dalam yang dibuatnya dibatalkan pengadil kerana seperti aksi membuat servis bola tampar.


Khairuddin selaku pengerusi publisiti Kelab Staf yang hadir membuat liputan perlawanan menyifatkan kekalahan pasukan PPD adalah disebabkan oleh faktor usia. ‘Rata-rata pemain kami berumur, mereka semua adalah bintang tapi bintang pada tahun 70an. Mereka bernafsu menyerang beramai-ramai tapi selepas itu tak ada mood untuk turun semula ke bawah’ kata juru gambar setia Kelab Staf PPD itu.

Perlawanan petang tadi merupakan perlawanan keempat pasukan PPD pada tahun ini selepas menewaskan SK Tigaman dan Tewas dengan SK Teringai dan SMK Bandau. Ini bermakna pasukan PPD akan berehat bersama 2 kekalahan pada bulan puasa ini. Selepas Hari Raya, pasukan ini akan kembali sibuk melayan pelawaan pasukan lain yang begitu banyak menungu termasuk daripada SK Masalog, SK Langkon, Balai Bomba dan berberapa pasukan ternama yang lain.

Barisan Pemain PPD: Jimson (Pengurus), Norbet (Pen.Pengurus), Sanih, Amat Nor, Sanaleh, Jasni, Rosmin, Tedy, Tony, Benson dan 2 orang pemain import dari sekolah.

Oleh: Kandawai2@yahoo.com

No comments: