Waktu Solat

Saturday, September 8, 2012

Kurikulum baru Sejarah harus terap jati diri Malaysia sebagai asas bina negara


Kurikulum baru subjek Sejarah di peringkat sekolah menengah yang sedang dirangka harus mampu menerapkan semangat pembinaan jati diri sebagai asas perpaduan kepada pembinaan sebuah negara, kata Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena).


Ketua Satu Gapena Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata kurikulum subjek Sejarah juga harus berpaksikan kepada Perlembagaan dan Rukun Negara.
   
Beliau yang menyambut baik langkah kerajaan itu berkata ia memang relevan memandangkan usaha menanam semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar melalui pelajaran Sejarah walaupun ada, masih tidak mencukupi.
   
"Kurikulum baru itu harus memberi penekanan lebih kepada pemahaman dan penghayatan perjalanan pembentukan sebuah negara Malaysia itu.
   
"Dalam hal ini, pemahaman itu tidak boleh lari dari sejarah Kesultanan Melayu, manakala peranan kaum lain dalam perjuangan itu pun tidak harus diketepikan," katanya ketika dihubungi hari ini.
  
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan kini dalam proses merangka kurikulum baru subjek Sejarah dalam usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
   
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Abdul Latiff berkata pendekatan kepada pembelajaran dan pengajaran subjek Sejarah yang sering kali dianggap ramai sebagai matapelajaran yang membosankan juga harus dikaji semula.
   
"Kurikulum baru itu harus digubal dalam cara di mana ia dapat merangsang pelajar untuk berfikir dan bertindak secara rasional, bukan sekadar hafalan semata-mata untuk lulus peperiksaan," katanya.
   
Sementara itu, Ketua Felo Penyelidik di Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia Datuk Dr Denison Jayasooria, yang sependapat dengan Abdul Latiff berkata patriotisme perlu menunjukkan rasa hormat dan sayang kepada raja, sultan dan bendera kebangsaan, yang merupakan simbol penting negara.
   
Beliau juga mencadangkan supaya panel itu dianggotai ahli akademik dan pemimpin daripada semua etnik untuk merangka kurikulum baru berkenaan.
  
Beliau berkata kurikulum baru itu juga harus mencerminkan pengorbanan dan sumbangan semua kumpulan etnik dalam membentuk negara ini dari peringkat awal penubuhannya hingga sekarang.
   
"Sejarah dan perjalanan kita membina negara bangsa harus mencerminkan dan menggambarkan semua kaum di negara ini," katanya.
   
Beliau berkata subjek itu juga perlu ditangani secara matang dan rasional untuk menggambarkan fakta sejarah dan konflik yang berlaku.
   
Denison berkata turut sama penting, anggota politik di negara ini perlu menunjukkan model terbaik kepada generasi muda dalam memupuk semangat patriotisme. - Bernama

No comments: