Waktu Solat

Thursday, October 16, 2008

Capaian jalur lebar wayarles dengan satu klik

TEKNOLOGI capaian internet dan akses data wayarles bagi jarak jauh merupakan perkhidmatan yang memberi banyak kemudahan kepada pengguna.
Untuk tujuan itu, Green Packet Bhd. (Green Packet) telah melancarkan Peralatan Premis Pelanggan WiMAX (WiMAX CPE) sebagai penyelesaian komunikasi secara bersepadu di peringkat antarabangsa melalui pembekal perkhidmatan telekomunikasi.
Dengan pelancaran tersebut, Green Packet menyasarkan untuk menjadi peneraju dalam generasi jalur lebar wayarles dan penyelesaian rangkaian mobiliti serta menjadi syarikat ICT pertama yang membekalkan peralatan WiMAX atau Saling Kebolehoperasian Seluruh Dunia bagi Akses Gelombang Mikro.Menurut Pengarah Urusan Green Packet, Kelvin Lee, kejayaan tersebut dicapai melalui pembangunan strategi bersama rakan niaganya dalam penyelesaian aplikasi WiMAX dari banyak negara di Asia Tenggara, China, Asia Timur, Asia Barat, Afrika dan Amerika Selatan.
"Menerusi perkhidmatan ini, kami berharap agar syarikat telekomunikasi (telco), pembekal perkhidmatan internet (ISPs) dan pembuat peralatan jalur lebar akan mendapat manfaat bersama,'' katanya.
Pelancaran WiMAX CPE itu termasuk modem luar dan dalam serta beberapa produk komunikasi dan interaksi yang terlibat seperti perisian dan perkhidmatan nilai tambah.
Kesemua produk tersebut direka untuk memenuhi kehendak pengguna, pembuat peralatan jalur lebar, Telcos dan ISPs.
Ia menawarkan platform yang fleksibel untuk memberi pengguna pengalaman aplikasi WiMAX yang menarik.
"Produk Green Packet menjanjikan pengguna kemudahan mengakses aplikasi jalur lebar tanpa wayar pada bila-bila masa dan di mana juga mereka berada.
"Dengan hanya satu klik mudah, pengguna akan dapat mengakses rangkaian seperti WiFi, GPRS, 3G dan juga WiMAX,'' jelasnya.
Menurut Lee lagi, aplikasi tersebut juga bakal memberi faedah kepada rakan niaganya menerusi integrasi rangkaian WiMAX yang berkualiti dan boleh dipercayai.
Produk tersebut juga sebenarnya telah diuji keupayaannya oleh Packet One Networks (P1) yang merupakan pembekal komersial pertama perkhidmatan WiMAX di Malaysia.

Sumber:
UTUSAN MALAYSIA
16 Oktober 2008 / 16 Syawal 1429

by: sardotcom

No comments: