Waktu Solat

Thursday, October 16, 2008

Status Cybercenter tingkat kemudahan ICT

SELEPAS pengiktirafan beberapa Cybercentre (pusat siber) sebelum ini, Mid Valley City merupakan penerima terbaru Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia yang diisytiharkan baru-baru ini.Pengiktirafan tersebut merupakan langkah strategik kerajaan, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan juga IGB Corporation Berhad (IGB) bagi menawarkan persekitaran yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur ICT khusus untuk kegunaan orang ramai dan juga syarikat berstatus MSC Malaysia.
Selari dengan agenda kerajaan, pemberian status tersebut mengembangkan lagi spektrum ICT bagi kawasan Lembah Klang sekali gus menjadikan ia sebagai bandar metropolitan yang menjadi pusat untuk para pekerja berpengetahuan (K-workers) serta perniagaan untuk bertapak.
Penganugerahan tersebut secara tidak langsung menambah bilangan pusat siber keseluruhannya kepada 15 di seluruh negara setakat ini.
Sejajar dengan pengiktirafan tersebut. Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali, mengucapkan tahniah kepada IGB kerana berjaya mengemudikan perkembangan pembangunan Mid Valley City untuk memenuhi kriteria sebagai pusat siber berstatus MSC Malaysia selain menyokong perkembangan industri ICT tempatan.
''Mid Valley City berada dalam lokasi strategik yang memiliki permintaan tinggi oleh pengguna ICT termasuk dari kawasan Bangsar dan Petaling Jaya.''Sehubungan itu, ia mampu menawarkan persekitaran berkualiti untuk membolehkan syarikat berstatus MSC beroperasi di Mid Valley City,'' katanya ketika majlis pengiktirafan Mid Valley City sebagai Pusat Siber (Cybercentre) MSC Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menerusi penganugerahan tersebut, Mid Valley City kini menawarkan 300,000 kaki persegi kawasan pejabat kepada syarikat berstatus MSC untuk beroperasi di situ.
Sebagai tambahan, pusat siber terbaru itu turut dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur yang terbaik termasuk bekalan elektrik yang tinggi, sambungan fiber optik, perkhidmatan telekomunikasi terkini, sistem keselamatan, Pusat Data Internet khas dan juga Pusat Maklumat yang sudah mula beroperasi.Di samping itu, orang ramai turut berpeluang untuk menggunakan kemudahan sambungan WiFi berkelajuan tinggi yang tersedia disekeliling kawasan berkenaan.Pengiktirafan Mid Valley City sebagai pusat siber menjadikan ia sebagai edisi terbaru kepada kewujudan pusat siber yang terdapat di Lembah Klang seperti di Pusat Membeli-Belah KLCC, Menara TM, Taman Teknologi Park Malaysia, KL Sentral dan juga Bandar Utama.
Turut hadir ketika majlis penganugerahan itu ialah Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Padillah Yusof, Pengerusi MDeC, Tan Sri Abdul Halim Ali, Pengarah IGB Corporation Bhd., Tan Lei Cheng dan Ketua Pegawai Eksekutif Mid Valley City Sdn. Bhd., Anthony Barragry.

Sumber:

UTUSAN MALAYSIA
16 OKTOBER 2008

No comments: