Waktu Solat

Thursday, December 30, 2010

Malaysia Juara AFF Suzuki 2010

Setelah menunggu selama 14 tahun akhirnya Malaysia berjaya menjuarai kejohanan AFF Suzuki 2010 setelah mempamerkah aksi menarik dan peningkatan prestasi selepas dibelasah oleh Indonesia 1-5 sewaktu pusingan kumpulan diperingkat awal. Namun, tindakan drastik jurulatih K.Rajagobal mengenalpasti dan menangani kelemahan dan kesilapan peringkat awal mampu merubah pasukan negara.


Pemain-pemain Malaysia menunjukkan kebangkitan apabila menghasilkan 3 gol pada perlawanan akhir pusingan pertama  yang menjadi bekalan selesa buat skuad negara. Semasa beraksi malam tadi di Stadium Bung Karno, Indonesia, pemain Malaysia beraksi dengan baik dan cemerlang sebagai satu pasukan sehingga mampu menyekat kemaraan pemain Indonesia daripada menjaringkan lebih banyak gol. Penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat beraksi lebih cemerlang kerana berjaya menyelamatkan beberapa percubaan termasuk sepakan penalti oleh ketua pasukan Indonesia.

Prestasi pemain Malaysia tidak seperti perlawanan pusingan kedua separuh akhir ketika menentang Vietnam di Hanoi tempoh hari yang nampah membosankan kerana taktik permainan bertahan.

Semasa perlawanan akhir pusingan pertama di Stadium Bukit Jalil, pelbagai dakwaan dan helah disuarakan oleh pemain, pemimpin dan akhbar Indonesia tentang kekalahan mereka 3-0 kepada pasukan Malaysia yang beraksi cemerlang ketika itu. Dakwaan gangguan laser oleh penjaga gol Indonesia mengganggu tumpuan mereka semasa permainan, Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia mendakwa di akhbar, penjaga gol mereka dikenakan ilmu hitam menyebabkan ketiga-tiga penjaga gol mereka mengalami kegatalan seluruh badan dan terdapat serbuk di palang gol ketika mereka menjalani latihan.

Ini semua dakwaan palsu semata-mata dan untuk menutup malu atas kekalahan mereka di Bukit Jalil lalu. Jika benar laser mengganggu, kenapa semasa perlawanan malam tadi penjaga gol Malaysia juga diganggu oleh laser tapi mampu menjaga gawang dengan baik. Bahkan semua pemain Malaysia tidak menghiraukan laser yang dipancarkan kepada mereka dan benarlah bahawa kekuatan mental memainkan peranan yang penting dalam menentukan dan memberikan prestasi yang terbaik.

K.Rajagobal telah berjaya memimpin dan membentuk satu pasukan yang terbaik setakat ini, tetapi jika hanya berpuashati dengan prestasi sekarang tidak akan sampai ke mana arah tuju pemain-pemain muda yang dididik oleh jurulatih ini. Walaupun pasukan kebangsaan yang ada sekarang ini rata-rata pemain muda, tetapi skuad pelapis juga perlu di bentuk dengan stamina, jatidiri dan kekuatan mental ketika beraksi di tengah padang. Begitu juga pemain-pemain belasan tahun di peringkat sekolah menengah dan rendah perlu dibentuk lebih awal dan didedahkan dengan teknik dan kaedah kawalan mental ketika bermain di tengah padang selain dari program-program mencungkil bakat-bakat muda.

Pencarian bakat-bakat muda ini perlulah diperluaskan bukan hanya di bandar-bandar malah di luar-luar bandar, pekan dan pedalaman juga perlu dijalankan. Apa yang saya dapati ramai bakat-bakat muda dan kanak-kanak di pedalaman ini boleh diasuh menjadi pemain yang berpotensi dan berjaya dalam bidang bola sepak.

Jadilkanlah kejayaan pasukan kebangsaan menjuarai piala AFF Suzuki 2010 in isebagai batu loncatan untuk memaju dan mempertingkatkan kualiti dan prestasi bola sepak Malaysia bermula di peringkat awal oleh persatuan yang berkenaan.

Tahniah sekali lagi kepada pemain-pemain Malaysia.

No comments: