Waktu Solat

Sunday, March 27, 2011

Cuepacs cadang Sistem Gaji Sebaris diperkenalkan

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan Sistem Gaji Sebaris diperkenalkan dalam kajian semula terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM), supaya penjawat awam lebih produktif dalam menunaikan tugas mereka.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata pihaknya juga mencadangkan kepada kerajaan agar kenaikan pangkat dan gaji penjawat awam mengambil kira penglibatan mereka dalam aktiviti luar seperti kesukarelaan, kemasyarakatan dan sukan.



Beliau berkata perkara itu akan dikemukakan dalam pertemuan antara pihaknya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 4 April.

“Kita menyambut baik langkah kerajaan untuk mengkaji semula Sistem Saraan Malaysia yang kini pun masih banyak dipertikaikan.

“Pada peringkat awal, ini antara cadangan yang akan dikemukakan oleh Cuepacs kepada kerajaan untuk kajian semula terhadap SSM,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kajian semula SSM sedang dijalankan untuk menjadikan perkhidmatan awam negara ini lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.

Najib berkata kajian komprehensif itu bukan sahaja meneliti aspek saraan semata-mata tetapi juga bakal mewujudkan struktur dan sistem yang dinamis bagi menterjemahkan agenda transformasi kerajaan serta ekonomi.

Perdana Menteri berkata kerajaan bercadang untuk memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai penjawat awam, yang selain berupaya menunjukkan mutu kerja tinggi di pejabat, mampu pula bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan sukan.

Mengulas lanjut, Omar berkata pihaknya berpendapat banyak kelebihan bakal dinikmati penjawat awam dengan Sistem Gaji Sebaris, antaranya daripada segi pergerakan gaji dan tahap gaji maksimum mereka.

Beliau berkata dalam Jadual Gaji Matriks yang ada dalam SSM sekarang, penjawat awam hanya memperoleh kelebihan dalam jangka pendek, misalnya akan mencapai tahap gaji maksimum dengan cepat sedangkan mereka masih ada tempoh untuk berkhidmat.

Malahan, kata beliau kenaikan gaji dan pangkat yang diberikan kepada penjawat awam lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kini juga menyekat dan “membunuh” semangat sebahagian penjawat awam lain.

Katanya tidak semua yang terkandung di dalam SSM kini tidak berfaedah, namun sudah tiba masanya bagi kerajaan menilai semula beberapa perkara kerana kelebihan perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

Sumber:BERNAMA

No comments: