Waktu Solat

Sunday, July 17, 2011

Syor wujud penolong kanan disiplin

Kementerian Pelajaran perlu mewujudkan jawatan guru penolong kanan disiplin bagi melengkapkan pelaksanaan Prosedur Standard (SOP) Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid yang menetapkan masalah disiplin pelajar perlu diselesaikan dalam seminggu di semua peringkat.
Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hassan, berkata dengan wujudnya perjawatan itu, pelaksanaan SOP menangani disiplin di sekolah bukan hanya cepat dan mudah dilaksanakan, malah melicinkan lagi prosedur berkenaan.


Beliau berkata, sudah tiba masanya jawatan itu diwujudkan bagi melancarkan lagi tadbir urus sekolah membabitkan soal disiplin murid seperti wujudnya jawatan Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar dan Penolong Kanan Kokurikulum. 

“SOP menangani masalah disiplin seperti dalam Pekeliling Ketua Pengarah Pelajaran yang diperkenalkan itu satu rasional, wajar dan praktikal dilaksanakan. PIBGN sangat menyokong usaha itu. 

“Namun, pelaksanaannya akan lebih licin jika ada orang dilantik menyelenggara dan menyelia perkara itu,” katanya mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai langkah terbaru Kementerian Pelajaran menetapkan penyelesaian masalah disiplin pelajar wajib diselesaikan dalam seminggu pada semua peringkat. 

Tempoh itu bagi penyelesaian kes dalam bidang kuasa pentadbiran sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), di bawah pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 (hari pertama, ketiga, ketujuh) Pelaporan Dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid. 
Penyelesaian itu termasuk tindakan perlu diambil mahupun hukuman atau penyelesaian lain yang dilakukan selain memaksimumkan kepuasan hati pihak terbabit. 

Menyambut baik langkah terbaru Kementerian Pelajaran itu, Mohamad Ali berkata, pelaksanaan SOP juga perlu mengambil kira kesan jangka panjang selain tahap kesalahan disiplin dilakukan pelajar. 

“Jika masalah disiplin pelajar adalah kes jenayah maka cara menanganinya berbeza dengan masalah kesalahan yang biasa di sekolah. Justeru, sudah tentu ada penyertaan pihak luar seperti polis, ibu bapa dan pemimpin masyarakat setempat. 

“Saya harap penyertaan banyak pihak dalam menangani isu disiplin juga perlu diwujudkan termasuk kalangan ibu bapa dan pemimpin komuniti supaya masalah itu bukan hanya menjadi tanggungjawab guru dan pihak sekolah selain menjamin penyelesaian memuaskan hati semua pihak serta pelajar yang terbabit dalam kes disiplin,” katanya.

Berita Harian

No comments: