Waktu Solat

Monday, November 28, 2011

Baucar RM200 boleh guna awal 2012

Baucar buku bernilai RM200 untuk penuntut institusi pengajian tinggi yang diumumkan dalam Bajet 2012, boleh mula digunakan pada awal pengajian tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor.

Beliau berkata, mekanisme untuk menentukan kaedah menukarkan baucar dengan buku untuk dimanfaatkan penuntut akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak lama lagi.


“Kira-kira 1.2 juta pelajar akan menikmati kemudahan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Kita Cakna Kerjaya Kolej Komuniti Malaysia 2011 di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah, Kolej Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Malaysia, Prof. Madya Kamarudin Kasim.

Ab. Rahim berkata, langkah kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada penuntut membuktikan kerajaan prihatin terhadap masa depan bidang pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.

Dalam Bajet 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian baucer buku RM200 kepada semua penuntut warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi dan pelajar tingkatan enam.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abd. Rahim berkata, Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi adalah bertujuan untuk menggalak dan memantapkan pembangunan keusahawanan yang lebih terancang dan holistik di kalangan IPT.

“Ini selaras dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan.

“Dasar ini juga adalah usaha kementerian bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan siswazah yang akan bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi ke arah pencapaian negara maju menjelang tahun 2020,” katanya.

— BERNAMA

No comments: