Waktu Solat

Monday, November 28, 2011

RM500: Kerajaan akan umum proses pendaftaran

Kerajaan akan mengumumkan perincian mengenai proses pendaftaran bagi mengagihkan bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah pada awal Disember depan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, proses itu untuk membolehkan isi rumah yang benar-benar layak menerima bantuan seperti diluluskan dalam Bajet 2012.

Katanya, bagi membantu melancarkan proses tersebut, kerajaan melantik 2,000 pekerja sambilan untuk membantu mengumpul bagi perincian tersebut selain dibantu oleh Jabatan Kebajikan Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Selepas perincian ini siap, isi rumah yang layak boleh mendaftar pertengahan bulan depan dan bantuan dijangka diagihkan pada pertengahan Januari tahun depan," katanya di sini hari ini.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau ke projek baik pulih rumah Khadijah Che Hamzah di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini.

Dalam Bajet 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian bantuan sekali sahaja sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Ahmad Husni berkata, mengikut data yang direkodkan, seramai 3.4 juta isi rumah layak mendapat bantuan berkenaan.

"Kalau ada individu yang tiada rumah terutama mereka yang tinggal di bandar besar tetapi menumpang, layak menerima bantuan itu.

"Ia juga melibatkan golongan warga emas yang sebatang kara juga layak menerima bantuan, selain mereka dalam senarai E-Kasih," katanya.

-BERNAMA

No comments: